Monday, January 25, 2010

teguran dari Dato' Duta

18 Januari 2010 (Isnin)


Assalamualaikum wr wb dan selamat sejahtera.


Kepada saudara/ri YDP PKPMI dan Pengerusi Kelab UMNO yang saya hormati.



Adalah dimaklumkan bahawa pada tarikh 14 January 2010, suatu Majlis Makan Malam antara YB Dato Seri Noh bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dengan para pelajar Malaysia di Jakarta telah diadakan bertempat di Hotel Mulia, Senayan. Terima kasih atas kerjasama PKPMI Jakarta dan Kelab UMNO Jakarta dalam menjayakan majlis tersebut.

Saya bagi pihak YDP PKPMI Pusat ingin menarik perhatian saudara/ri mengenai teguran yang dibuat oleh YBhg Dato’ Syed Munshe Afdzaruddin, Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang disampaikan kepada YBhg Datuk Dr Junaidy bin Abu Bakar, Pengarah JPMI dalam mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta (KBMJ) pada hari Isnin lepas. Perkara ini dimaklumkan oleh Datuk Dr Junaidy kepada saya melalui telefon setelah mesyuarat tersebut selesai.

Teguran yang diberikan oleh Duta Besar adalah berhubung dengan etika para pelajar dalam menghadiri acara-acara rasmi yang kebetulan dilihat oleh beliau sewaktu kunjungan YB Menteri ke Jakarta. Teguran ini sebenarnya merupakan rentetan daripada teguran yang pernah disampaikan oleh Datuk Dr Junaidy sebelum-sebelum ini dalam pelbagai acara/ majlis yang melibatkan para pelajar Malaysia di seluruh Indonesia. Namun, ia masih tidak dipandang begitu serius oleh sebahagian para pelajar sehingga teguran ini disampaikan sekali lagi dengan nada yang lebih tegas oleh Duta Besar. Maka sewajarnya kita semua mengambil tindakan dan saling-mengingatkan rakan-rakan yang lain agar ia tidak terulang kembali di masa yang akan datang

Berikut adalah teguran yang disampaikan oleh Duta Besar :

  1. Pakaian yang dipakai oleh sebahagian pelajar tidak sesuai untuk sebuah majlis rasmi. Para pelajar perlu mematuhi dress code yang telah ditetapkan dan sekiranya gagal maka pelajar berkenaan berhak untuk diusir. (Sewaktu kunjungan YB Menteri ke Jakarta, dress code tidak dimaklumkan kepada para pelajar, namun, para pemimpin pelajar perlu mengambil inisiatif untuk bertanya kepada pihak yang memberikan undangan/jemputan)

  1. Para pelajar tidak mengisi sebahagian meja yang masih kosong di bahagian depan walaupun telah diminta berbuat demikian oleh En Azman Mahmood, Warden yang mendapat arahan daripada pihak Duta Besar. Sikap ini dinilai sebagai tidak menghormati arahan pihak atasan

  1. Para pelajar masih tidak memahami cara menyantap makanan secara buffet di mana lauk pauk seringkali habis walaupun masih ada orang lain yang masih belum mengambilnya. Makanan yang ditempah adalah bersesuaian dengan jumlah kehadiran namun ia menjadi tidak cukup disebabkan oleh segelintir pelajar yang agak tamak/ gelojoh

  1. Sewaktu sesi soal jawab diadakan, para pelajar sangat pasif dan tidak bangun untuk mengemukakan pertanyaan. Walaupun pada akhirnya pengacara majlis bertanya ’soalan saguhati’, namun persepsi yang diterima oleh YB Menteri adalah para pelajar bersikap pasif.

Oleh yang demikian, YBhg Datuk Dr Junaidy meminta semua persatuan pelajar supaya :

  1. Apabila diundang untuk sesuatu majlis yang melibatkan para pelajar yang ramai, maka perlu diadakan jawatankuasa di peringkat pelajar untuk menguruskan kehadiran pelajar, etika berpakaian, ketertiban sewaktu majlis diadakan, jawatankuasa yang memastikan makanan tidak diambil secara berlebihan dan seumpamanya

  1. Memastikan para pelajar memberikan sepenuh tumpuan kepada ucapan yang disampaikan oleh VVIP/VIP dan menyediakan sekurang-kurangnya tiga atau lima soalan untuk ditanyakan dalam sesi soal jawab.

Demikian perkara saya sampaikan kepada saudara/ri sekalian dengan harapan ia akan menjadi pengajaran oleh kita semua. Perkara ini juga perlu diambil tindakan segera memandangkan Duta Besar merupakan seorang yang berdedikasi tinggi, tegas dan teliti dalam pelbagai perkara.

Segala perhatian dan kerjasama daripada pihak saudara/ri saya dahului dengan ucapan terima kasih. Terima kasih.

BERILMU, BERAMAL, BERSATU

Yang menjalankan tugas,

AHMAD NABIEH ABQORY BIN RAHMAT


No comments:

Post a Comment