Sumber air dicemari bakteria
|
|
JAKARTA - Hampir 100 peratus sumber air minum di bandar-bandar besar di Indonesia dicemari bakteria E Coli dan Coliform.
Pengarah Penempatan dan Perumahan Badan Perencanaan Pembangunan Nasional (Bappenas), Nugroho Tri Utomo berkata, sebanyak 80 peratus daripada pencemaran itu berlaku hasil perbuatan manusia sendiri.
"Pencemaran berlaku kerana sikap kita sendiri, oleh itu kita perlu mengambil berat tentang sumber air kita, termasuk sistem perparitan," katanya ketika menghadiri Persidangan Kebangsaan Pengurusan Sumber Air Bersepadu di Jakarta.
Persidangan bertemakan 'Peranan Rakyat dalam Pengurusan Sumber Air Bersepadu' itu dianjurkan oleh Bappenas dan Danone Aqua sempena menyambut Hari Air Sedunia.
Menurut Nugroho, dianggarkan 3.5 juta orang akan berhadapan masalah kekurangan air pada 2025, dengan 2.5 juta daripada jumlah itu pula akan hidup tanpa tahap kebersihan yang sepatutnya.
Punca masalah itu ialah sikap manusia sendiri yang suka membazir dan mencemarkan sumber air.
"Di Indonesia, keperluan bekalan air bersih semakin meningkat dan kecenderungan pengguna air bersih turut bertambah.
"Jumlah peningkatan pengguna ialah antara 17 hingga 30 peratus per kapita untuk setahun, sedangkan jumlah air bersih yang ada semakin berkurangan ekoran pencemaran dan kerosakan," ujar Nugroho.
Sementara itu, anggota Dewan Air Nasional, Piter Hehanusa berkata, kira-kira 169 juta rakyat Indonesia belum dibekalkan dengan air bersih.
"Kerajaan memiliki 7.1 juta saluran air bersih yang hanya mampu membekalkan air kepada 35.5 juta orang dan hanya dinikmati penduduk bandar.
"Ini bermakna, sejumlah 82 peratus rakyat negara ini terpaksa menggunakan air yang tidak mematuhi piawaian kesihatan," katanya.
Ketua Pusat Sumber Daya Air Tanah dan Geologi Persekitaran dari Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral, Dodid Murdohardono pula berkata, pencemaran air menjadi punca utama krisis air bersih di seluruh Indonesia.
Menurutnya, masalah ini diburukkan lagi dengan pengawasan yang lemah dan keengganan pelaksanaan undang-undang yang ketat. - AGENSI
Sumber
No comments:
Post a Comment