ADA beberapa fakta menarik yang boleh dikongsi mengenai industri telur di negara ini. Antaranya ialah, Malaysia merupakan antara negara pengeksport telur dengan pengeluaran tahap sara diri (SSL) mencapai 123 peratus.
Industri telur kita mengeluarkan 9.2 bilion biji telur setahun dengan nilai RM2.2 bilion setahun.
Angka itu diperoleh daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2009.
Ini bermakna kita mengeluarkan telur yang melebihi keperluan.
Fakta-fakta ini sudah cukup menggambarkan tidak ada sebab kita perlu mengeluarkan telur sintetik atau boleh disebut dengan mudah sebagai telur palsu.
Malaysia mula mencapai tahap SSL sejak 1980-an lagi dengan adanya teknologi terkini dalam pengurusan ayam penelur dan sistem pemakanan yang baik.
Penggunaan sistem reban tertutup dengan persekitaran terkawal, pemberian makanan , pengutipan telur serta penggredan secara automatik menjadikan industri ini berkembang cukup pantas.
Justeru kewujudan apa yang dianggap sebagai telur palsu seperti yang dilaporkan di Pulau Piang baru-baru ini menimbulkan sedikit kesangsian.
Sebagai negara pengeksport, tidak ada sebab untuk mengeluarkan telur palsu yang mungkin harganya lebih mahal dan tidak mungkin ia dapat bertahan untuk menyaingi telur asli.
Sebab itu, penyelidik berpendapat, telur yang didakwa palsu itu sebenarnya telur bergred rendah yang ditolak dalam sistem penggredan dan tidak dipasarkan.
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai makmal tersendiri untuk menilai dan mengenal pasti telur berkualiti.
Menurut Timbalan Pengarah yang juga Pegawai Penyelidik Prinsipal Kanan Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI, Wong Hee Kum, perbandingan dengan telur asli boleh digunakan untuk membuktikan ketulenan atau sebaliknya.
"Ada beberapa faktor luaran dan dalaman telur boleh dijadikan ciri-ciri perbandingan untuk membuktikan telur asli atau telur palsu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.
Telur asli mempunyai warna cangkerang sama ada putih atau perang (coklat). Warna ini pula ditentukan daripada baka ayam yang digunakan .
Baka ayam bulu dan cuping telinga putih akan mengeluarkan telur cangkerang putih manakala ayam berbulu merah dan cuping telinga merah mengeluarkan telur warna perang.
Meskipun terdapat perbezaan warna, ia tidak membezakan kualiti.
Sementara itu Penolong Pegawai Penyelidik Kanan di bahagian yang sama, Noraziah Mokhtar berkata, telur putih tidak lagi terdapat di pasaran ketika ini kerana pengguna di negara ini tidak menggemarinya.
"Komposisi kimianya atau kandungannya adalah sama dengan telur perang tetapi pengguna di negara ini tidak memilihnya menyebabkannya ia tidak lagi dihasilkan," ujarnya.
Seperti juga rakan penyelidiknya, Noraziah berkata, ujian kualiti boleh mengesahkan sama ada telur tersebut palsu atau sebaliknya.
Antara yang dilakukan ialah menjalani proses candling (pendianan) yang mana telur berkenaan dilalukan di bawah cahaya dan beberapa kriteria diperhatikan.
Telur normal yang berkualiti biasanya mempunyai ruang udara pada hujung atas yang lebih kecil. Bagi telur lama ruang udaranya lebih besar.
Cangkerang yang nipis juga menunjukkan telur berkenaan tidak berkualiti.
Selain itu kuning telur dipegang oleh tisu yang dipanggil sebagai kalaza.
Oleh itu beberapa teori mudah ialah tidak mungkin pembuat telur palsu mampu menghasilkan tisu berkenaan dalam sebiji telur.
Pada masa sama, saiz telur asli dan bentuknya tidak terlalu sekata sedangkan jika ia cuba ditiru, maka pembuat telur perlu menyediakan acuan khas.
Ini sekali gus dapat membezakan rupa bentuk luaran telur antara yang palsu dan asli.
Bahaya telur palsu
ISU pengeluaran telur yang dikatakan palsu baru-baru membuka mata kita betapa bahayanya menikmati apa yang kita suka tanpa mempedulikan dari mana sumbernya.
Seperkara lagi ialah, kita tidak menyangka ada pihak sedia mengambil kesempatan untuk mengaut untung tanpa memikirkan kesannya kepada orang lain.
Demikian risiko yang kita tanggung apabila memakan telur yang dikatakan palsu.
Telur palsu itu dikatakan dihasilkan daripada bahan-bahan kimia yang sudah pasti mengundang bahaya kepada badan.
Telur palsu atau fake egg dikatakan dihasilkan di China kerana mereka berpendapat, menghasilkan telur palsu lebih murah berbanding memelihara ayam penelur.
"Tidak mustahil (menghasilkan telur palsu), kerana benda serumit manapun manusia boleh hasilkan inikan pula telur palsu," kata Pengarah Institut Pertanian Tropika Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr. Zulkifli Idrus.
Beliau yang pakar menjalankan penyelidikan berkenaan ayam bagaimanapun berkata, sekiranya pereka telur palsu itu ingin bersaing dengan yang asli mereka terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi
"Ini kerana, jika hanya meniru menghasilkan kuning telur , putih telur (albumen) dan cangkerang, maka ia tidak mampu bersaing dengan telur asli (daripada segi zat)," ujarnya.
Pada masa sama, agak mudah untuk membezakan antara telur asli dan palsu daripada segi luaran dan dalaman.
Laporan menyebut bahawa menghasilkan telur sendiri lebih murah berbanding menternak ayam penelur di China.
Mengenai perkara itu, Zulkifli berkata, penternakan ayam penelur memang rumit dan kos tinggi.
Ini kerana, penternak memerlukan ratusan ribu ekor ayam penelur untuk memastikan mereka memperoleh keuntungan minimum sedangkan keuntungan yang sama boleh diperoleh dengan menternak ayam pedaging pada kuantiti yang jauh lebih rendah.
Ayam penelur pula hanya mengeluarkan hasil (mula bertelur) selepas 20 minggu sedangkan ayam daging sudah boleh dijual selepas lima minggu.
"Keuntungan menjual telur pula hanya dua atau tiga sen sebiji," ujar beliau.
Apatah lagi sebiji telur asli dibentuk oleh ayam dalam tempoh 24 jam termasuk pembentukan cangkerang sahaja hampir 20 jam.
Oleh itu jika pihak yang menghasilkan telur tiruan berkata, mereka ingin menjual telur pada harga yang lebih murah, ia bertentangan dengan logik kerana bahan tambahan mineral yang perlu disuntik memerlukan kos yang tinggi.
"Saya kurang setuju jika telur tiruan ini murah. Banyak perkara perlu ditiru selain kuning, putih dan cangkerang telur.
"Ini termasuk kalaza dalam telur yang fungsinya memegang kuning telur. Ini saya rasa sukar ditiru," katanya.
Melainkan ada usaha untuk mengabui mata pembeli yang menggunakan taktik mencampurkan telur asli dan telur palsu untuk mengaut untung
Namun, bagi pengguna, Zulkifli memberi peringatan bahawa amat bahaya memakan telur palsu kerana ia dihasilkan daripada bahan kimia.
Mengenai isu yang dibangkitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa mereka menemui telur palsu di negeri itu, Zulkifli berkata, ia tidak mustahil berlaku.
Sumber
Telur Tulen Berkualiti
Bahaya Telur Palsu
No comments:
Post a Comment